salam-ukhwah Wednesday, March 17, 2010

Pernahkah kita bertemu dengan orang yang perasan? Dia perasan hebat, perasan hensem atau anggun, dan perasan semua manusia di sekeliling sedang mengaguminya. Apabila dia memakai baju cantik, berdandan elok, berpasangan lawa dan berkereta menjalar, dia perasan yang mereka yang berselisih dengannya asyik memerhati. Kerana itu, dia melangkah dengan membusung dada.

Apakah perasaan kita bila terpandang orang yang perasan ini? Geram dan meluat atau lucu melihat gelagatnya? Walau apa pun, sudah pasti kita tersenyum-senyum bila melihat insan dalam keadaan ini. Kalau boleh, kita hendak ketawa berdekah-dekah supaya orang yang perasan itu tahu yang kita mentertawakannya. Biar dia tahu yang kita nampak akan lakonannya di pentas sandiwara dunia.

Tapi, bagaimana pula kalau kita pula menjadi orang yang perasan itu? Kita pula perasan yang orang di sekeliling asyik memerhati kita. Bila kita memandang mereka, mereka pula buat-buat tak nampakkan kita. Padahal, mereka menyembunyikan senyuman geli geleman melihat gelagat kita yang perasan.

Mungkin, kita tidak selalu berperasan hebat, hensem, cantik, anggun dan yang sewaktu dengannya. Pendek kata, kita bukannya kaki perasan. Bagaimana pun, percaya tak, ada ketika-ketikanya kita juga perasan yang orang asyik memerhati kita kerana apa yang kita lakukan atau apa yang terjadi kepada kita.

Kita ambil contoh� jikalau kita tergelincir lalu jatuh tersembam di tempat awam. Kalau kita jenis yang tidak perasan orangnya, kita akan bingkas bangun dan berlalu. Kalau kita jenis manusia yang perasan, kita akan tertoleh-toleh ke sekeliling akibat khuatir menjadi perhatian orang. Nah, semakin lama kita tertoleh-toleh, semakin ramai yang akan nampak keadaan kita yang tertiarap di lantai. Isy, malunya.

Ataupun, pernah tak ketika kita asyik membeli-belah di pasaraya, tiba-tiba kita terpandang seseorang yang memakai baju yang mempunyai paten yang sama dengan kita? Tindakan spontan yang kita lakukan ialah melencongkan langkah dan menjauhinya.

Jika bertembung, kita buat-buat tak nampak akan kehadirannya. Malunya rasa kerana kita perasan yang orang sekeliling akan tersenyum simpul dan mentertawakan di belakang, kerana keboriaan kita dengan orang itu. Padahal, bukankah paten baju yang kita pakai itu dicop di kilang kain hingga berkodi-kodi jumlahnya?

Kerana itu, tentu sekali akan terjadi kebarangkalian kita akan terserempak dengan orang yang berbaju sama macam kita. Justeru itu, buat apa malu? Sepatutnya pertemuan kita dengan orang yang berbaju sama seperti kita itu diraikan bersama! Lainlah kalau paten baju kita sama dengan langsir rumahnya.

Ada ketika kita perasan yang orang lain memandang rendah terhadap kita. Ini biasa terjadi apabila memandu. Contohnya, ketika berbaris dalam kesesakan untuk membayar tol, seboleh-bolehnya kita tidak mahu kereta di sebelah memotong kita. Seolah-olah pemandu kenderaan di sebelah akan mentertawakan kita andainya dia dapat mendahului kita.

Kerana itu, kita menghimpitnya dan berasa begitu berjaya bila dapat memotong kereta orang itu dan membayar tol. Sebaliknya, jika pemandu itu dapat mendahului kita, kita berasakan seolah-olah kita tidak cekap memandu. Akibat perasaan perasan itulah maka kita tak fasal-fasal berasa malu. Padahal, si pemandu yang berjaya memotong kita tidak ingat pun muka kita.

Jadi manusia perasan memang tidak elok. Kita merimaskan orang di sekeliling. Lagipun, sikap ini mempunyai tanda-tanda yang kita ini jenis manusia yang syok sendiri. Dan, yang paling tidak bagus ialah, sikap ini membawa kepada sifat ujub iaitu membangga diri kerana perasan hebat.

Perasaan inilah yang membuatkan ramai di antara kita suka berlebih-lebihan dalam berbelanja. Bila membuat majlis, ada yang cuba bergaya seperti orang kaya. Padahal, jiran-jiran tahu banyak manalah pendapatan kita. Bila berpangkat, kita berasa kitalah manusia yang paling mulia. Sehinggakan kita boleh kecil hati jikalau ada teman sekampung yang tidak menyebut gelaran dan pangkat bila menyapa kita.

Begitulah. Orang yang mendapat sesuatu dengan mudah lazimnya berasa dirinya tiba-tiba terjulang ke tempat yang tinggi. Justeru itu, dia tidak pandai mengawal perasaan hingga berasa dirinya melayang tidak jejak ke bumi. Dia alami superiority complex. Sikap tawaduk sudah hilang dari sanubarinya. Padahal, langkah kakinya tidak boleh menembusi bumi. Atau tubuhnya tidak setinggi gunung. Apa yang hebatnya?

Artikel ini diterbit dlm sinarharian 17.3.2010

0 comments:

Post a Comment

Visitors

Banner

" />