salam-ukhwah Tuesday, June 21, 2011

Cerita ini Cik Wan perolehi dari kiriman email. Tersentuh hati membaca cerita ini. Harap dijadikan panduan dalam kehidupan kita.
++++++++++
PETANG itu, di serambi rumah usang milik keluarga kami di Kuala Terengganu, saya duduk bersila berhadapan dengan adik bongsu, Amid atau nama sebenarnya Syed Mohammad Nazri Syed Bidin.

"Kenapa kau nak berhenti sekolah?"
soal saya.

Amid menundukkan kepala dan membisu.
Saya tidak puas hati. Sekali lagi saya ulang soalan yang sama.

"Amid tak nak sekolah sebab nak jaga emak.
Amid nak jaga emak sampai akhir hayat,"
jawab Amid dengan lembut, tetapi tegas.

Saya tersentak mendengar jawapan Amid.

"isshhh. betul ke budak ni?
Baru darjah enam, masa seronok budak-budak pun masih belum habis,"
hati saya berkata kata.

"Cakap betul-betul dengan abang. Kenapa tak nak sekolah? Ada budak jahat kacau ke?"
pujuk saya lagi.
Saya tidak mahu Amid berhenti sekolah kerana tidak tahan dengan gangguan budak-budak nakal.

"Betul bang, Amid tak tipu. Amid tak nak sekolah sebab nak jaga emak.
Nanti kalau Amid belajar pandai-pandai, kena duduk jauh dari mak. Amid tak nak tinggalkan mak,"
katanya separuh merayu.

Melihat kesungguhannya, saya jadi buntu. Nampak gayanya, Amid tidak bergurau.

"Betul ke ni?"
soal saya masih tidak percaya.

"Betul,"
balas Amid pula tanpa ragu ragu.

"Suka hati adiklah,"
kata saya selepas lama termenung.
Mendengar jawapan saya, Amid tersenyum lalu meminta izin untuk masuk ke dalam rumah.

Saya termenung di serambi. Kata kata Amid itu benar-benar memberi kesan terhadap jiwa saya. Kecil-kecil lagi sudah ada kesedaran mahu berbakti kepada emak.

Tetapi, peristiwa itu berlaku 17 tahun dulu. Kini Amid sudah dewasa, umur pun sudah mencecah 29 tahun.
Saya tidak lagi ragu-ragu terhadap Amid. Memang betul, Amid tidak mahu bersekolah dulu kerana mahu menjaga emak.
Amid tidak bergurau. Amid telah membuktikan kepada saya dan adik beradiknya yang lain, memang dia ikhlas mahu menjaga emak.

Memang tidak dapat dinafikan, di antara kami Sembilan beradik, Amidlah anak yang paling taat terhadap emak. Tingkah lakunya, tutor katanya, begitu tertib ketika bersama emak atau orang yang lebih tua darinya. Seumur hidup, saya dan adik-beradik lain tidak pernah melihat Amid bersikap atau bercakap kasar terhadap emak.

Apa saja keputusan atau kehendaknya, Amid akan merujuk kepada emak terlebih dahulu.
Emaklah yang akan memutuskan. A kata emak, A jugalah katanya. Hitam kata emak, hitamlah kata Amid.
Saya sendiri, termasuk adik beradik lain tidak mampu untuk bersikap seperti Amid.

Pernah juga saya mengajak Amid bekerja di Kuala Lumpur mencari rezeki di sana, tetapi dia menolak.
Katanya,
biarlah dia tinggal bersama emak.

"Kalau semua pergi, sapa nak jaga emak?
Sapa nak uruskan lembu kambing? Kakak?
Dia perempuan. Mana larat buat kerja yang berat-berat.
Lagipun takkan nak biarkan rumah ni tak ada lelaki?"
"Abang dan kakak pun dah ada keluarga masing-masing.
Abang Usop dan Abang Mat pula dah duduk di KL.
Jadi, biarlah Amid duduk di kampung aja. Kerja jaga kambing dan lembu pun tak apalah,"
kata Amid kepada saya.

Setiap kali saya mengajak, pasti jawapan Amid sama. Lama-kelamaan saya mengalah.

Kami adik-beradik sudah faham perangai Amid. Saya tahu, pasti Amid tidak akan setuju untuk ke Kuala Lumpur.
Amid dan emak bagaikan isi dengan kuku. Bagaikan satu nyawa. Tidak boleh berpisah. Dia lebih rela menjadi gembala lembu daripada meninggalkan emak yang sudah tua itu.

Bukan itu sahaja, dalam hal-hal makan minum pun, Amid tetap akan mendahulukan emak.
Sekiranya dia membawa pulang kuih-muih yang dibeli dari pekan, janganlah sesiapa sentuh, selagi emak tidak menjamah terlebih dulu.
Ada kalanya saya perasan, emak menjamah sikit makanan itu, semata-mata untuk menjaga hati Amid.

Jika Amid berkenan untuk membeli sesuatu barangan, dia tidak akan terus membelinya. Amid terlebih dulu akan pulang dan meminta izin emak untuk membeli barang tersebut.
Sekiranya emak mengizinkan, barulah dia beli barang itu. Jika tidak, dia tidak akan beli, biarpun barangan itu memang dia inginkan.

Ketika emak terlantar sakit dan hampir lumpuh, Amidlah yang menjaganya. Kami adik-beradik ketika itu benar-benar mengharapkan Amid sebagai anak lelaki untuk menjaga emak.
Maklumlah, kami di Kuala Lumpur. Tetapi Amid memang tidak mengecewakan kami.

Cerita emak kepada saya, setiap malam Amid akan tidur berdekatan emak di ruang tamu rumah tempat emak terbaring. Tidak pernah sekalipun dia tidur di biliknya selama emak terlantar.
Pantang terdengar emak bergerak Mau terbatuk di tengah malam buta, Amid pasti terjaga.
"Kenapa mak?
Mak nak buang air ke?
Lapar? Mak nak minum?"
Amid akan bertanya pada emak.

Sekiranya emak mahu buang air, Amid akan memapahnya ke bilik air.
Jika emak mahu minum, dia akan menyediakan minuman. Kalau emak pening, Amid akan memicit-micit kepala emak sehingga orang tua itu terlena.
Jika emak menggigil kesejukan, Amid akan menarik selimut menutupi tubuh emak daripada kedinginan malam.

Satu malam, cerita emak kepada saya lagi,
ketika sedang berbaring, tiba-tiba dia berasa pening kepala. Lalu emak pun mengadu pada Amid yang sedang berbaring di sebelahnya.

Amid bingkas bangun lalu memicit micit kepala emak. Tiba-tiba, emak terasa nak muntah sangat-sangat.
Amid yang baru saja bangun untuk mengamhil besen, apabila melihatkan keadaan emak, membatalkan hasratnya ke dapur.
Amid segera berteleku dihadapan emak lalu menadah tangannya, meminta emak muntah di telapak tangannya.
Berlambak muntah emak di telapak tangan Amid. Tetapi, Amid sedikit pun tidak kisah atau berasa geli-geleman.

Apabila mendengar cerita emak, saya sendiri yang menitis air mata.
Memang, Amid sanggup berbuat apa sahaja untuk emaknya. Sehingga kini, apabila saya teringatkan peristiwa itu, air mata pasti bergenang.
Sebak hati saya apabila emak menceritakan bagaimana Amid melayannya ketika dia sedang terlantar sakit.

Pengorbanan Amid terhadap emak memang tidak mampu dilakukan oleh adik-beradik yang lain termasuk saya sendiri.
Di samping itu, Amid juga bertanggungjawab memberi makan lembu kambing sebanyak 30 ekor. Semuanya Amid laksanakan tanpa bersungut. Amid menjaga emak sehingga sembuh sepenuhnya.
Semenjak berhenti sekolah, sehingga ke usianya hampir mencecah 30-an, rutin hidup Amid tidak pernah berubah.
Pagi, Amid akan ke kebun dan selepas solat Zuhur, dia akan pulang untuk makan tengah hari.
Sementara menunggu petang menjelang, dia akan tidur sebentar melepaskan lelah.

Kemudian, selepas solat Asar, Amid akan keluar semula. Dia akan ke kebun yang jaraknya kira-kira dua kilometer dari rumah
untuk memastikan lembu kambing yang sudah kekenyangan itu dimasukkan semula ke dalam kandang.

Begitulah kehidupan Amid seharian. Biarpun ketika Itu, usianya sudah cukup matang untuk mendirikan rumah tangga, namun dia langsung tidak terfikir ke arah itu.

Katanya pada saya,
buat masa ini, cukuplah seorang wanita bergelar ibu di dalam hidupnya.
Khamis 7 Oktober 2004

AJAL dan maut di tangan Tuhan.
Tidak ada sesiapa yang mampu menolak ketentuan Ilahi. Saya sendiri tidak menyangka, hari itu, Amid akan meninggalkan kami buat selamanya.
Terlalu cepat rasanya Amid pergi terutama dalam usianya yang masih muda.
Amid meninggal dipanah petir.

Ceritanya begini.
Pada hari itu, selepas pulang dari kebun menghantar emak ke rumah, Amid menunaikan solat Asar.
Selepas selesai, dia akan menunggang motosikal buruknya ke kebun untuk menghalau kambing dan lembu masuk semula ke kandang.
Ketika itu, langit sudah gelap. Kilat mula memancar diiringi dentuman guruh. Menurut cerita kakak saya, Mek, Amid berada di kandang sehingga pukul 6.00 petang.

Mek nampak Amid menghalau lembu kambingnya sebab rumah Mek dekat saja dengan kandang haiwan itu.

Kira-kira pukul 6.15 petang, hujan mula turun dengan lebat. Kakak saya, Mek, Jah bersama adik saya, Nor dan Ana sedang berada di rumah mereka pada waktu itu.

Apabila hujan lebat turun dan guruh serta petir sabung-menyabung, mereka sangkakan Amid sudah pulang ke rumah emak.
Jadi mereka langsung tidak memikirkan tentang Amid kerana menyangka Amid sudah pulang ke rumah sebelum hujan turun.

Tiba-Tiba.
prangggggg. tuuuuummmmt!

Dentuman serta panahan petir yang teramat kuat itu membuatkan Mek, Jah, Nor dan Ana terperanjat.
Panahan petir itu turut membelah beberapa batang pokok pisang yang ditanam di belakang rumah serta merobekkan dinding dan pintu bilik air rumah Mek.

Pada masa yang sama, emak yang sedang berada di halaman rumahnya kira-kira dua kilometer dari rumah Mek, turut terperanjat mendengar bunyi dentuman petir itu.
Darahnya berderau. Lutut emak tiba-tiba saja jadi lemah. Dirinya terasa seperti di awang-awangan.

Tiba-tiba mulut emak terpacul kata kata,
"Ya Allah. anak aku!"

Hati emak jadi berdebar-debar. Dia teringatkan Amid yang sedang berada di kebun.
Emak tiba-tiba bimbang terjadi sesuatu yang buruk terhadap Amid.

Kira-kira setengah jam berlalu, hujan semakin reda. Pancaran kilat dan guruh juga sudah sayup-sayup bunyinya. Tiba-tiba Mek teringatkan Amid.
Dia menghubungi emak, tetapi kata emak, Amid masih belum pulang.

Mek mula rasa tidak sedap hati. Dia mengajak abang kami, Pok Yee untuk keluar bersama mencari Amid. Mereka berdua menuju ke kandang yang tidak jauh dari rumah mereka itu.

Sampai di sana...

"Ya Allah, adik akuuuuuu!!!"
jerit Mek sebaik sahaja melihat Amid terbaring mengiring di bawah pohon sentul di depan kandang kambingnya.

Mek memangku kepala Amid. Mek Jerit nama Amid beberapa kali,
tapi Amid tidak lagi menyahut. Tubuhnya kaku.
Cerita Mek kepada saya.
ketika itu dia melihat darah mengalir laju keluar dari telinga Amid. Kesan lukanya pula seperti terkena tembakan peluru. Dari waJahnya, sehingga ke paras dada, menjadi hitam kesan terbakar.

Amid dibawa ke hospital dengan hantuan seorang jiran dan disahkan sudah meninggal dunia.
Ketika menunggu hospital membenarkan kami membawa pulang jenazah Amid, Mek pun bercerita kepada kami bagaimana dia melihat sesuatu yang agak pelik pada mayat Amid ketika dia mula-mula menjumpainya.
Cerita Mek,
mayat Amid dijumpainya terbaring mengiring menghadap ke arah kiblat dan kedua-dua tangannya pula dalam keadaan kiam.

Lazimnya seseorang yang dipanah petir, tercampak dan keadaan anggota badannya tidak teratur. Tetapi ini tidak, mayat Amid seolah olah dibaringkan dan tangannya dikiamkan ke dada.
cerita Mek kepada kami lagi.
Pagi Jumaat 8 Oktober 2004

PAGI itu, suasana pilu menyelubungi rumah kami. Mayat Amid terbujur kaku diselimuti kain kapan di ruang tamu.
Saya terma suk beberapa orang adik-beradik dan orang kampung, sibuk menguruskan urusan pengebumian Amid.

Di sekeliling mayat, kelihatan saudara-mara memenuhi ruang rumah, termasuk orang-orang kampung membacakan surah Yasin.
Setelah solat jenazah, mayat Amid dibawa ke perkuburan. Sebaik selesai urusan pengebumian, azan solat Jumaat pun berkumandang.

Sehari selepas Amid dikebumikan, saya ke kuburnya untuk membacakan surah Yasin.
Saya tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 9.00 pagi. Ketika sedang khusyuk membaca Yasin.
tiba tiba saya terdengar suara burung berkicauan di atas pokok-pokok di kuburan itu.

Pada mulanya saya tidak hiraukan kicauan burung-burung tersebut. Tetapi lama-kelamaan, saya dengar bunyi kicauan itu semakin kuat dan rancak.
Saya pun mendongak, kelihatanlah sekumpulan burung sedang terbang berpusing dan galak berkicau.
Mula timbul rasa pelik dalam diri saya sebab sewaktu mula-mula sampai ke tanah perkuburan, langsung tidak nampak kelibat seekor burung pun.

Saya menyambung kembali bacaan sehingga tamat.
Anehnya, sebaik saya habis membaca surah Yasin, bunyi kicauan burung itu hilang serta-merta.
Apabila saya mendongak, saya dapati sekawan burung yang berterbangan tadi juga sudah ghaib entah ke mana.

Serentak itu saya terbau saw haruman yang tidak pernah saya rasai sebelum ini. Baunya amat harum.
Saya mencaricari dari mana datangnya bau harum itu, mungkin dari orang lain yang berkunjung ke kawasan perkuburan itu, tapi saya tidak menemuinya.
Tiada orang lain di kawasan perkuburan itu kecuali saya.

Saya kemudian meninggalkan pusara Amid, sedang di dalam kepala masih terfikir-fikir tentang kejadian pelik sebentar tadi.
Apabila pulang ke rumah emak, tambah memeranjatkan, apabila saya terbau haruman yang sama di dalam bilik Amid. Saya masuk ke biliknya dan mendapati bau tersebut datangnya dari sudut bilik tempat Amid sering bersembahyang.
Subhaanallah! Itu saja yang mampu saya katakan dalam hati.

Bukanlah tujuan saya untuk bercerita tentang kebaikan adik sendiri atau bertujuan untuk berbangga, riak dan sebagainya,
tetapi bagi keluarga kami, Amid menjadi contoh seorang anak yang begitu taat kepada ibunya. Dan kisah ini ingin saya kongsikan bersama sebagai satu pengajaran buat kita semua.

Setiap kali saya terbaca kisah-kisah sadis dan kejam seperti kejadian anak membunuh ibu, atau anak sanggup menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang-orang tua di akhbar atau majalah,
pasti saya akan teringatkan sikap Amid.

Biarpun Amid sudah pergi meninggalkan kami hampir bertahun lamanya, namun apabila saya terkenangkannya, saya akan menitiskan air mata. Sedih dan terharu apabila mengenangkan pengorbanan Amid terhadap emak.

Namun, dalam sedih, ada terselit di hati saya rasa gembira. Sikap taatnya kepada ibu, dan peristiwa pelik yang berlaku pada Amid ketika kematiannya, membuatkan saya yakin, itu adalah petunjuk dari Tuhan, sebagai balasan buat seorang anak yang telah mengabdikan diri terhadap ibu sehingga ke akhir hayatnya.

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya;
ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;
(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu;
dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)".
- Surah Luqman ayat 14. 

petikan dari http://www.wanorizan.com/2010/04/kisah-benar-anak-yang-soleh.html

0 comments:

Post a Comment

Visitors

Banner

" />