KEPADA sesetengah individu terutama si kecil, fasa untuk melelapkan
mata mungkin terganggu atau mengambil masa yang agak panjang sekiranya
bantal busuk tiada di sisi. Bahkan kepada si kecil, ada yang merengek-rengek, gelisah, menangis
atau menyusu dengan selesa sekiranya kehilangan bantal busuk. Fenomena bantal busuk hakikatnya bukan isu yang berlegar dalam
kalangan si kecil. Sebaliknya, bantal busuk iaitu objek yang menjadi
peneman kepada seseorang ketika mahu tidur ini juga berlaku dalam
kalangan orang dewasa.
Bantal busuk hanya istilah yang dilabelkan kepada objek yang menjadi
peneman kepada seseorang ketika tidur. Bantal busuk juga boleh bermaksud
selimut, sapu tangan, kain pelikat, kepala anak patung, patung beruang
dan sebagainya. Hari ini, masih ada dalam kalangan orang dewasa yang terbawa-bawa
dengan tabiat bantal busuk yang menjadi kelaziman sejak kecil. Bahkan,
tidak mustahil tabiat yang sama terbawa-bawa ke alam perkahwinan. Walaupun objek yang menjadi bantal busuk sudah bertukar warna, kepam
dan berbau, namun ia tetap menjadi pujaan kepada pemiliknya. Bantal
busuk seolah-olah mempunyai kuasa yang luar biasa.
Wajib bersama
Pemilik dan bantal busuknya umpama isi dengan kuku. Barangkali kepada
mereka yang memiliki bantal busuk, hidup mereka bukan sahaja tidak
sempurna tanpanya, malah boleh menyebabkan si pemilik menjadi tidak
keruan. Justeru, tidak hairanlah jika si pemilik dan bantal busuknya
wajib bersama walau ke mana-mana saja. Bagaimanapun, ada sesetengah pihak menyifatkan tabiat itu hanyalah
bersifat sementara iaitu pada zaman kanak-kanak sahaja. Namun, tabiat
itu sebenarnya boleh berlarutan sehingga ke peringkat dewasa dan sukar
dikikis jika tidak dikawal sejak awal lagi. Ammirul Ashraf, 18, mengakui masih menyimpan bantal dan selimut yang menjadi peneman tidurnya sejak dia berumur setahun.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu mengakui dia tidak berasa malu
asalkan kedua-dua barangan itu berada bersamanya lebih-lebih lagi ketika
waktu tidur atau apabila keluar dari rumah untuk tempoh yang lama. Bercerita mengenai tabiatnya, segala-galanya bermula ketika Ammirul
Ashraf berusia setahun apabila ibunya memberi sebiji bantal untuk
dipeluk. Niat ibunya adalah supaya Ammirul dapat tidur nyenyak. Namun,
lain pula jadinya. Sejak itu, Ammirul Ashraf tidak pernah meninggalkan bantal busuknya
itu. Bahkan, dia akan membawanya ke mana-mana sahaja apabila dia keluar
rumah. Bagaimanapun, tabiat gemar melekat dengan bantal busuk itu hanyalah
bersifat sementara. Ammirul Ashraf mengakui apabila melangkah ke alam
remaja, sifat malu datang dengan sendiri.
Menyorokkan bantal
Justeru, bantal busuk itu terbatas penggunaannya iaitu hanya apabila dia berada di rumah sahaja. "Saya rasa tabiat ini tidak memudaratkan kesihatan kerana saya hanya
memerlukan bantal berkenaan sebagai peneman tidur sahaja dan bukanlah
dikendong ke mana-mana saja seperti anak kecil," ujarnya ketika ditemui
di kediamannya di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini. Lelaki yang tidak lekang dengan senyuman itu memberitahu, dengan adanya bantal tersebut, dia dapat tidur lena dengan memeluknya.
Ketika ditanya sama ada tabiatnya itu mendapat tentangan keluarga, Ammirul hanya melemparkan senyuman. Ujar Ammirul Ashraf, ibu termasuk adik-beradiknya pernah membuat cubaan beberapa kali menyorokkan bantal kesayangannya itu. Mengimbau pengalaman terpaksa berenggang dengan bantal itu beberapa kali, Ammirul Ashraf mengakui dia tidak dapat tidur lena. Semuanya gara-gara salah seorang kakaknya menyorokkan bantal busuknya itu supaya Ammirul Ashraf meninggalkan tabiatnya itu. "Seingat saya, ia berlaku ketika saya masih kecil lagi. Masa itu
memang susah untuk tidur. Saya cuba sedaya upaya mencarinya tetapi gagal
dan akhirnya terlelap gara-gara penat," ungkapnya sambil memberitahu,
dia jarang membasuh bantal busuknya.
Tidak berenggang
Selain bantal, Ammirul juga memiliki selimut busuk yang dimiliki sejak tiga tahun lalu. Akuinya, tabiat baharu itu wujud tanpa disedari sehingga dia ditegur ibunya. "Saya memang tidak sedar, tahu-tahu sahaja saya tidak boleh berenggang dengan selimut ini ketika mahu tidur," ujarnya. Ketika ditanya sama ada dia malu atau tidak dengan tabiatnya itu
memandangkan dia seorang lelaki, Ammirul Ashraf mengakui dia tidak
berasa malu kerana kedua-dua barangan itu akan dibawa bersama sewaktu
tidur sahaja. Sehubungan itu, dia belum memasang niat untuk membuang bantal dan selimut busuknya itu kerana ia mempunyai nilai sentimental. Sementara itu, bagi Munirah Salim, 27, mempunyai anak yang menggemari bantal busuk bukan satu masalah kepadanya.
Ibu kepada seorang anak lelaki, Muhammad Qaid Ariff Mohd. Hafiz itu
memberitahu, anaknya yang baru berusia setahun sudah mempunyai selimut
busuk sejak berumur empat bulan lagi.
Tuturnya, selimut tersebut digunakan untuk menyelimutkan tubuh badan
anaknya itu. Namun, selepas beberapa bulan dia mengambil selimut itu
untuk dibasuh dan menukarkannya kepada yang lain, anaknya itu kelihatan
tidak keruan. "Ketika itu, Qaid asyik merengek sehinggalah saya berikan semula
selimut terbabit barulah dia berasa tenang itupun selepas merenyukkannya
dengan kain lain," ujar Munirah ketika ditemui baru-baru ini. Mengulas lanjut mengenai tabiat anaknya itu, Munirah memberitahu,
selimut tersebut akan dibawa ke mana-mana sahaja walaupun untuk
seketika.
"Bayangkan, kalau hendak ke stesen minyak mahupun kedai runcit,
selimut itu pasti akan dibawa. Jika tiada selimutnya, dia memang tidak
akan duduk diam, ada sahaja yang tidak kena. "Saya dan suami tidak akan lupa membawa selimutnya setiap kali keluar
dari rumah," jelas Munirah mengakui dia juga mempunyai tabiat yang sama
seperti anaknya ketika zaman kecilnya. Semasa zaman kecilnya, anak jati Perlis itu turut memiliki kain
pelikat milik ayahnya. Tabiat itu mula timbul apabila ayahnya berkursus
beberapa hari.
Pada masa itu, Munirah terlalu rapat dengan bapanya. Ketiadaan
bapanya menyebabkan Munirah sentiasa menangis. Justeru, untuk memujuk
Munirah, ibunya memberikan kain pelekat bapanya. Namun lama-kelamaan, Munirah, tidak dapat berenggang dengan kain pelikat tersebut sehinggalah umurnya berusia 12 tahun. "Namun, apabila semakin meningkat dewasa, timbul rasa malu dalam diri
dan secara tidak langsung saya berjaya membuang tabiat itu tanpa
sebarang paksaan," jelas Munirah sambil berharap anaknya itu juga
mengikut jejaknya.