Mengukir Inai Di Tangan: Apakah Dibenarkan Syara‘?
بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Sudah menjadi tabiatnya- Golongan perempuan, ingin kelihatan cantik dan menawan. Berbagai cara dilakukan untuk tampil menarik, antaranya dengan berpakaian cantik, berhias dengan aksesori yang pelbagai atau berhias dengan peralatan solek dan yang seumpamanya.
Berinai juga dilihat sebagai salah satu cara untuk berhias khasnya sewaktu hendak bersanding. Inai digunakan dengan bermacam cara, dan selalunya cara itu meluas mengikut trend semasa. Jika dahulu inai hanya digunakan untuk memerahkan kuku, jejari dan telapak tangan, tetapi sekarang ia lebih menjurus kepada ukiran seperti ukiran berbentuk bunga, hati, bintang dan seumpamanya.
Kehalusan ukiran inai yang terhasil dari kreativiti pengukir dilihat sebagai satu seni hiasan yang cantik dan menarik. Tidak hairanlah jika ia menjadi satu trend hiasan yang digemari oleh sebahagian orang hari ini. Apa yang ditakuti ada perempuan Islam yang menghias anggota badannya dengan ukiran yang kekal dalam bentuk tatu.
Apakah hukum berinai dan adakah berinai dengan cara membuat ukiran di tangan itu dibenarkan oleh syara‘?
Hukum Berinai
Terdapat perbezaan hukum berinai bagi lelaki dan perempuan.
Pertama: Hukum berinai bagi lelaki
Berinai pada dua tangan dan kaki bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram kecuali kerana darurat seperti berinai untuk berubat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Salma, khadam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, katanya:
Maksudnya:
“Tidak mengadu seseorang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sakit di kepalanya melainkan Baginda berkata: “Berbekamlah”, dan tidak mengadu seseorang kepada Baginda tentang sakit di kakinya (pecah kulit) melainkan Baginda berkata: “Inaikanlah keduanya”.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Amalan sesetengah pengantin lelaki berinai di jejari tangannya adalah haram juga hukumnya.
Manakala berinai pada uban dan janggut adalah disunatkan bagi lelaki, sama ada dengan warna merah atau kuning. Akan tetapi bukan dengan warna hitam,kerana berinai dengan warna hitam
adalah haram sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya:
“Dibawa Abu Quhafah pada hari penaklukan Makkah ke hadapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan rambut dan janggutnya memutih seperti tsaghamah (sejenis tumbuhan bunga dan buahnya berwarna putih seperti putih uban). Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ubahkan (warna rambut dan janggut) kamu dengan sesuatu dan jauhi (warna) hitam.”
(Hadis riwayat Muslim)
Kedua: Hukum berinai bagi perempuan.
Hukum berinai bagi perempuan adakalanya sunat, adakalanya makruh, bahkan adakalanya haram mengikut keadaan, status perempuan itu sama ada bersuami atau tidak dan bagaimana cara perempuan itu berinai.
i. Berinai yang sunat
Berinai ketika hendak melakukan ihram bagi perempuan sama ada perempuan tua atau yang muda, yang bersuami atau yang tidak bersuami (janda atau belum berkahwin) hukumnya adalah sunat. Begitu juga sunat bagi perempuan yang bersuami berinai walaupun dia tidak bermaksud untuk berihram.
ii. Berinai yang makruh
Berinai bagi perempuan yang tidak bersuami dan ia tidak bermaksud untuk berihram hukumnya adalah makruh.
iii. Berinai yang haram
Berinai dengan cara yang tidak dibenarkan oleh syarak, seperti berinai dengan warna hitam hukumnya adalah haram. Begitu juga haram berinai bagi perempuan yang berkabung kerana kematian suami.
Berinai Dengan Membuat Ukiran Di Tangan
Berinai yang disunatkan bagi perempuan yang bersuami yang ingin melakukan ihram atau tidak dan perempuan yang tidak bersuami yang ingin melakukan ihram ialah dengan cara menginai seluruh tangan hingga pergelangannya dan disunatkan juga menyapu sedikit inai pada mukanya.
Adapun berinai dengan membuat ukiran di tangan pula, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah ada menyebutkan perkara ini di dalam kitabnya, Tuhfah al-Muhtaj ‘ala Syarh al-Minhaj, katanya:
Ertinya:
“Dan tidak disunatkan baginya (perempuan yang bersuami yang tidak melakukan ihram) berinai dengan membuat ukiran, berinai dengan warna hitam, berinai di hujung-hujung jari dan berinai dengan memerahkan pipi, bahkan haram melakukan salah satu daripada cara sedemikian bagi perempuan yang tidak bersuami dan bagi isteri yang tidak mendapat keizinan suaminya.”
Berdasarkan petikan di atas, jelas bahawa hukum berinai dengan membuat ukiran bukanlah cara yang disunatkan, bahkan perbuatan itu haram dilakukan bagi perempuan yang tidak bersuami dan juga bagi perempuan yang sudah berkahwin yang tidak mendapat keizinan suaminya. Namun jika suami mengizinkannya, makruh jika isteri melakukan yang sedemikian itu.
Selain daripada membuat ukiran, berinai dengan warna hitam, berinai di hujung-hujung jari dan berinai dengan memerahkan pipi juga merupakan cara berinai yang tidak dibenarkan oleh syarak.Walau bagaimanapun menurut Ibnu Rif‘ah Rahimahullah, apa yang dimaksudkan dengan berinai di hujung-hujung jari yang diharamkan itu adalah menginai hujung-hujung jari dengan inai yang berwarna merah dan dicampur dengan yang berwarna hitam.
Jika menginainya hanya dengan inai yang berwarna merah, maka yang sedemikian adalah dibolehkan. Begitu juga dibolehkan ukiran yang dibuat dengan inai (warna merah) sahaja menurut Ibn Qasim al- ‘Abbadi Rahimahullah.
Kesimpulannya, Islam tidaklah melarang umatnya untuk berhias selama mana berhias itu selari dengan apa yang disyariatkan syara‘. Termasuk dalam hal inai, Islam telah memberikan garis
panduan tertentu mengenai cara berinai seperti larangan berinai dengan warna hitam dan waktu yang dibolehkan untuk berinai seperti sunat bagi perempuan berinai ketika berihram.
Sumber : Mufti Brunei