salam-ukhwah Thursday, March 11, 2010

TINGKATAN (KELAS) PARA WALI ALLAH

Sesuai dengan kedudukannya masing-masing disisi allah, Syeikh Muhyiddin Ibnul Arabi memberi klasifikasi para wali seperti diterangkan dalam bukunya ‘Futuhul Makkiyat’ bab 73 diringkaskan seperti dibawah:

AL AQTAB
Al Aqtab berasal dari kata tunggal Qutub bererti penghulu, Yakni darjat kewalian tertinggi.
Seorang saja yang mempunyai darjat ini untuk setiap masa. Seperti Abu Yazid Al Busthami dan Ahmad bin Harun Ar Rasyid Assity.

AL AIMMAH
Al Aimmah berasal dari kata tunggal Imam bererti pemimpin.
Dua orang sahaja dapat mencapai darjat ini.

AL AUTAD
Al Autad berasal dari kata tunggal Watad bererti pasak.
Empat orang sahaja yang ada setiap masa.

AL ABDAL
Al Abdal berasal dari kata Badal bererti menggantikan.
Tujuh orang sahaja dalam setiap masa.
Setiap satu abdal ditugaskan allah menjaga suatu wilayah di bumi ini.
Dikatakan bumi ini mempunyai tujuh daerah.
Jika wali abdal meninggalkan posnya maka akan digantikan oleh yang lain.
Abdul Majid bin Salamah pernah bertanyakan pada seorang wali Abdal bernama
Mu’az bin Asyrash tentang amalan apakah yang dikerjakan sehingga menjadi wali Abdal?
Jawab Mu’az bin Asyrash: “Para wali Abdal mendapat darjat tersebut dengan empat kebiasaan,
yaitu lapar, beribadat di malam hari, diam dan mengasingkan diri”

AN NUQABA’
An Nuqaba’ berasal dari kata tunggal Naqib bererti kepala suatu kaum.
Dua belas orang sahaja dalam setiap masa.
Diberi kelebihan untuk mengenal sedalam-dalamnya tentang hukum-hukum syariat,
dan dibukakan oleh Allah rahsia yang tersembunyi di hati seseorang.
Juga mampu meramal watak dan nasib seseorang dengan hanya dilihat dari bekas jejak kaki di tanah.

AN NUJABA’
An Nujaba’ berasal dari kata tunggal Najib yang bererti bangsawan yang mulia.
Lapan orang saja jumlahnya setiap masa.
Umumnya selalu disuai banyak orang, dimana-mana mendapat sambutan orang banyak.
Sebenarnya si wali sendiri tidak merasa kalau dirinya adalah seorang wali,
yang tahu ia adalah wali hanyalah seorang wali yang lebih tinggi darjatnya.

AL HAWARIYUN
Al Hawariyun berasal dari kata tunggal Hawariy bererti penolong.
Hanya ada satu setiap masa.
Jika ia meninggal akan digantikan orang lain.
Zubair IIbnul Awwam mendapat darjat wali ini seperti dikatakan sabda Nabi saw:
“Setiap nabi mempunyai Hawariy, Hawariyku adalah Zubair bin Awwam”
Walaupun waktu itu Nabi mempunyai beberapa orang sahabat yang setia dan selalu berjuang disisi.
Kelebihan wali Hawariy biasanya berani dan pandai berhujjah.

AR RAJBIYUN
Ar Rajbuyun berasal dari kata tunggal Rajab.
Hanya ada pada bulan Rajab sahaja.
Mulai awal rajab hingga akhir bulan mereka itu ada.
selebihnya keadaan mereka kembali biasa seperti semula.
Empat puluh orang sahaja jumlah mereka setiap masa.

salam-ukhwah

Pangkat
Adakah pangkat atau darjat yang disanjung? Manusia sekarang ini hanyalah memandang pangkat itu lebih baik daripada darjat. Dengan adanya pangkat yang tinggi segala hal keduniaan dapat dikuasai di tangannya. Demi kepentingan diri sendiri dalam mengerjakan pangkat, manusia sanggup memijak dan menidas orang lain untuk mencapai cita-cita yang diagungkan. Pangkat dalam pandangan manusia sekarang adalah satu kedudukan yang tinggi dan mampu untuk mengawalkan kehidupan orang lain.
Manusia yang bergelar umat Nabi Muhammad S.A.W juga banyak tersasar dan semakin jauh untuk menjadi umat islam yang beriman serta berlaku adil sesama umat islam yang beriman. Pada zaman serba moden ini, manusia yang mengaku sebagai umat islam yang beriman kepada Allah S.W.T dan Nabi Muhammad S.A.W sudah sesat jauh dalam dunia pangkat. Bagi golongan ini pangkat adalah satu tangga yang tinggi dan mulia serta mampu untuk memberikan kedudukan yang istimewa.

Darjat
Apabila seseorang manusia itu beramal, maka Allah s.w.t pasti akan menaikkan darjat walaupun secara hakikat niat di dalam hati kita bukanlah untuk mengejar darjat itu, tetapi itulah janji Allah kepada setiap makhluk-NYA, maka tiada seorang pun yang mampu menolaknya. Darjat yang diperolehi ini bukanlah berhasil dengan mendapat pingat, darjah kebesaran, projek atau gelaran, tetapi ia akan meletakkan kita sebagai manusia yang tinggi dan terbaik di sisi Allah s.w.t.

APA ADA PADA DARJAT?
Telah Allah khabarkan kepada kita sebagai manusia bahawasanya, penciptaan Insan itu adalah sebaik-baik kejadian. Maka, secara automatik, darjat manusia ini lebih tinggi dan baik daripada penciptaan makhluk Allah yang lain. Sekiranya seseorang manusia itu berlaku baik, ihsan dan melakukan apa yang disuruh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang, maka, darjat kita sebagai manusia Allah angkatkan lagi menjadi lebih baik daripada malaikat. Tetapi, apa yang berlaku hari ini adalah berlawanan dari apa yang diperintahkan Allah. Maka, Allah juga ingatkan manusia, jangalah kita menjadi manusia yang dihina Allah lebih hina dari binatang ternakan.

NAIK DARJAT
Apabila dikatakan bahawasanya untuk sesiapa yang beramal dengan amalan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t, kita lakukan sedikit, maka Allah akan angkatkan darjat kita sedikit. Cerminlah pada diri kita sendiri. Dari mana darjat kita itu diangkat? Adakah dari darjat tidak tahu kepada tahu atau darjat tahu kepada lebih tahu? Oleh yang demikian, apabila kita sudah mula beramal, janganlah mendabik dada dengan amalan yang kita baru mulakan, kerana apa yang perlu adalah ISTIQAMAH, bukan bercakap besar. Mungkin pahala yang kita terima belum pun boleh memadamkan dosa yang kita telah lakukan.

DARJAT DISISI ALLAH
Walau apapun pandangan manusia kepada kita, janganlah ia menjadi kerunsingan dalam hidup. Ini kerana, apa yang utama adalah apakah pandangan Allah terhadap kita. Mungkin kehidupan kita tidak semewah orang lain, atau darjat tidak setinggi TUN, atau harta tidak sebanyak 'billionaire', tetapi jika amalan cukup, bahkan dikasihi Allah s.w.t, maka tiada apa yang perlu dikhuatirkan, kerana, darjatmu tinggi dihadapan segala makhluk ciptaan Allah dan yang utama disisi Allah s.w.t.

KURNIA DARJAT
Ketika tiba hari akhirat kelak, ingatlah, di sana tiada istilah 'somebody' kerana disana nanti 'everybody is nobody'. Tidak kisahlah kepada siapa darjat itu diberi sekalipun, yang pastinya, darjat itu tidak semudah yang diusahakan di dunia ini. Darjat di dunia boleh diusahakan dengan mengampu atau merasuah, ia adalah hak mutlak Allah s.w.t. Jagalah hubungan kita dengan Allah, nescaya kita pasti mendapat KURNIAAN DARJAT DARI ALLAH S.W.T.

salam-ukhwah

Shoutul Harakoh - Tekad


Kami sadari jalan ini kan penuh onak dan duri
Aral menghadang dan kezhaliman yang akan kami hadapi
Kami relakan jua serahkan dengan tekad di hati
Jasad ini, darah ini sepenuh ridho Illahi

Kami adalah panah-panah terbujur
Yang siap dilepaskan dari busur
Tuju sasaran, siapapun pemanahnya

Kami adalah pedang-pedang terhunus
Yang siap terayun menebas musuh
Tiada peduli siapapun pemegangnya
Asalkan ikhlas di hati tuk hanya ridho Illahi Robbi...

Kami adalah tombak-tombak berjajar
Yang siap di lontarkan dan menghujam
Menembus dada, lantakkan keangkuhan

Kami adalah butir-butir peluru
Yang siap ditembakkan dan melaju
Dan mengoyak, menumbang kezhaliman
Asalkan ikhlas di hati tuk jumpa wajah Illahi Rabbi...

Kami adalah mata pena yang tajam
Yang siap menuliskan kebenaran
Tanpa ragu ungkapkan keadilan

Kami pisau belati yang slalu tajam
Bak kesabaran yang tak pernah padam
Tuk arungi da'wah ini jalan panjang
Asalkan ikhlas di hati menuju jannah Illahi Robbi...

salam-ukhwah Wednesday, March 10, 2010

APAKAH itu sampah terhormat? Frasa yang saya peroleh entah dari mana ini merujuk kepada barang atau benda yang sudah tidak berguna atau tidak relevan. Tetapi oleh kerana ia mempunyai nilai-nilai sentimental, atau kerana kemalasan kita sendiri, kita masih ingin terus menyimpannya. Ia tidak kotor, tetapi tidak juga berguna. Namun, bila kita mengarkibkannya, maka jadilah ia sampah terhormat.

Anda yang mempunyai meja di pejabat, bolehlah melihat di sekeliling anda sekarang. Apakah anda pasti, kertas-kertas yang tersusun di hadapan anda itu benar-benar berupa maklumat yang berguna untuk kerja anda ataupun hanya sampah sarap yang sepatutnya sudah lama dibakulsampahkan?

Lihatlah di kotak simpanan pen, Berapa banyak pen mata pena berdakwat merah, biru atau hitam yang tersimpan? Mengapa sampai menyimpan melebihi tujuh batang pen, sedangkan anda hanya memerlukan sebatang pen hitam, sebatang pen merah dan sebatang pen biru pada satu-satu masa? Berapa pula pen yang tidak berdakwat yang anda simpan? Sepatutnya ia sudahpun anda buang lama dahulu?

Bagi wanita pula, bukalah tas tangan anda. Apakah terdapat berhelai-helai resit keluaran wang ATM yang anda simpan? Mengapa pula terdapat kotak bedak kompak yang sudah kosong di situ? Bila anda hendak membuang plastik asam kecut sedangkan isinya telahpun habis anda telan? Dan, kenapa anda masih menyimpan di situ, puting susu anak yang anda beli di pasaraya minggu sudah?

Sampah terhormat juga terdapat di rumah. Seluklah ke dalam peti sejuk. Pasti terdapat keju yang sudah luput tarikh, kangkung yang sudah lunyai dan ataupun plastik-plastik kecil sos cili yang anda kumpul setiap kali anda memesan ayam goreng segera. Bukalah almari. Akan terdapat banyak sekali baju-baju lusuh yang seharusnya dijadikan kain buruk atau dibuang sahaja. Stokin yang tiada pasangnya, malah di situlah tersimpannya segala bil-bil api, air dan telefon sejak tahun 2000!

Sampah terhormat bukan benda mustahak pun. Ia hanya tampak berguna kerana kita punyai rasa kasih sayang yang tak kena pada tempatnya. Setiap kali kita berkemas, ketika itulah kita akan membelek apa yang selama ini kita simpan. Surat khabar lama, majalah lama, pinggan retak, bekas yang sudah hilang tudungnya atau tudung bekas yang hilang bekasnya adalah benda-benda yang kita masih hendak simpan lagi.

Bila menatap barang-barang ini, perasaan sentimental akan mengalir di dalam sanubari, lalu pisau yang tidak berhulu yang anda ingin buang itu anda simpan kembali ke dalam laci dapur. Kononnya anda lakukan itu kerana berasa pisau itu boleh diguna jika tiada pisau lain. Sedangkan anda sudah mempunyai empat bilah pisau yang baru anda beli. Oh, tidak!

Sikap bertangguh untuk berkemas akan memperbanyakkan sampah terhormat. Ia akan menyesak bilik pejabat, bilik tidur, peti sejuk, malah rumah anda. Bila ia menyesak, ia mula menyemak. Bila ia menyemak, fikiran kita akan jadi senak. Fikiran yang senak akan menurunkan produktiviti kerana mana boleh kita berfikir dengan tenang dalam suasana yang berserabut?

Sebab itulah, pakar-pakar produktiviti daripada Jepun melahirkan konsep 5S sebagai satu cara untuk mengekalkan produktiviti. 5S atau berkemas secara sistematik ini dikenali sebagai seiri, seiton, seiso, seiketsu dan shitsuke atau sisih, susun, suci, seragam dan sentiasa. Melalui sistem ini, suasana di tempat kerja akan kelihatan kemas dan tersusun.

Apabila semua barang ada di tempatnya dan semua tempat ada barangnya, maka kita tahu mencari apa yang dikehendaki dengan mudah. Bila kita hanya menyimpan apa yang perlu sahaja, ruang operasi tidak berselerak. Ini akan meringankan otak dan memberi kita semangat untuk bekerja.

Sampah terhormat dalam bentuk benda amat mudah untuk dikemas dan dinyahkan. Bagaimana pula dengan sampah-sampah terhormat yang tersembunyi, yang tidak memakan ruang fizikal yang besar? Sampah terhormat ini kurang disedari kerana kita tidak perasan akan kehadirannya. Lihatlah nombor-nombor telefon di telefon bimbit anda.

Bila anda mengambil keputusan untuk menyisih nombor-nombor yang anda tidak inginkan, senang-senang lebih daripada 20 nombor yang anda simpan itu sudah tidak berguna lagi. Mungkin nombor itu sudah tamat perkhidmatannya ataupun kita menyimpan nombor orang yang sama tetapi menggunakan dua nama yang berbeza. Ataupun, kita menyimpan mesej-mesej lama yang termasuk juga alamat rumah pengantin dan senarai nama buku anak ketika hendak membeli buku sekolah untuknya pada hujung tahun lalu.

Di dalam komputer juga terdapat sampah terhormat. Di dalam peti e-mel, kita menyimpan e-mel berantai, e-mel daripada kawan lama dan minit mesyuarat lama. Ada juga perisian versi lama yang kita simpan, sedangkan kita sudah ada versi baru. Ini tidak termasuk imej, permainan atau fail-fail yang kita sendiri tidak tahu bila ia ada di dalam komputer kita. Kehadiran sampah terhormat di dalam komputer, melembabkan kelajuannya.

Dan, akhir sekali, satu lagi tempat singgah sampah terhormat ialah di dalam minda kita. Ada banyak sekali sampah di dalam minda yang sepatutnya sudah lama kita buang. Sampai bila kita hendak menyimpan dendam kepada orang yang sudahpun kita maafkan? Mengapa kita menyimpan rasa benci terhadap seseorang artis, ustaz atau ahli politik, sedangkan dia tidak pernah menyusahkan kehidupan kita secara peribadi?

Kalaulah kita punyai perisian anti-virus untuk otak seperti perisian anti-virus komputer, segala sampah terhormat di dalam minda kita akan dapat dibersihkan setiap kali kita bangun pagi. Sama seperti komputer membersihkan virus setiap kali komputer dibuka. Bila minda bersih, sampah terhormat yang besar-besar di sekeliling kita mudah sekali dilupuskan dari pandangan mata dan fikiran.


Artikel ini terbit di akhbar SINAR HARIAN 20.1.10.

salam-ukhwah

KITA TIDAK SIBUK
TETAPI MENYIBUK

DARI semasa ke semasa, saya bertemu dengan orang yang kerap komplen mengatakan dia terlalu sibuk. Kononnya kerjanya tidak selesai kerana tugasannya banyak. Kalau dia bertugas di pejabat, dia memberi alasan kerjanya tidak beres kerana failnya bertimbun.
Kalau dia bekerja di luar pejabat, alasan tugasnya yang tertunggak itu berpunca kerana terlalu banyak temujanji yang perlu dihadiri hingga tidak sempat menyudahkan sesuatu kerja yang diberikan.

Dalam pada itu, saya biasa berjumpa dengan orang yang terpaksa menangani begitu banyak kerja, tetapi tidak pernah merungut. Segala kerja yang diberi diterimanya dengan selamba tanpa kerutan di dahi. Apabila tiba deadline, kerjanya siap sempurna dan menyenangkan hati.
Terdapat perbezaan yang ketara di antara orang yang suka komplen dengan orang yang tidak pernah merungut. Orang yang suka komplen biasanya bukannya sibuk, tetapi menyibuk.

Masanya kononnya tiada, tetapi dia sempat pula melayari internet, bersms mahupun bersembang dengan mereka di kiri dan kanannya dan juga di tingkat yang lain dengan cara berchatting.

Sebaliknya, orang yang tidak pernah merungut bila kerjanya banyak sebenarnya betul-betul menyibukkan diri dengan menyelesaikan segala tugas yang diberikan. Dia tidak membuang masa dengan menepati masa. Kerana itu, masa yang digunakan untuk menyiapkan sesuatu tugasan itu tidak panjang dan terbuang.

Apa yang membezakan di antara mereka yang berjaya dan mereka yang tidak pernah pun berjaya ialah cara mereka menangani masa. Orang yang tidak berjaya selalunya membazir masa. Sebaliknya orang yang berjaya selalunya menggunakan masa dengan sepenuhnya.

Pak menteri contohnya, merupakan orang yang berjaya. Dalam perjalanan ke tempat kerja, dia menghabiskan masanya dengan membaca akhbar. Sebaik sahaja memasuki pejabatnya, dia menghadiri mesyuarat dan brainstorming hingga ke tengahari. Waktu makan tengaharinya akan digunakan untuk berbincang dengan pelabur.

Kemudian dia akan menghadiri majlis perasmian, mungkin sebesar pelancaran sebuah kawasan perumahan ataupun sekecil memberi bantuan kepada fakir miskin. Sekembalinya ke pejabat, akan ada temujanji lagi ataupun dihubungi pihak media untuk memberi komen terhadap sesuatu isu berkaitan dengan kementeriannya.

Jamuan makan malam bukan semata-mata makan-makan dan sembang-sembang. Sebaliknya jamuan makan malam pak menteri selalunya penyeksaan dalam penantian. Ia dipenuhi dengan ucapan, penyampaian anugerah demi anugerah sebelum bersurai sehingga melewati jam 11.00 malam.

Pulang ke rumah, pasti ada penyokong parti yang menunggu memohon pandangan dan nasihat. Sehingga jam 2.00 atau 3.00 pagi dia mungkin perlu menyelesaikan tugas-tugas pejabat seperti menandatangani pelbagai dokumen sebelum dapat melelapkan matanya.

Seseorang biasa yang pandai menggunakan masa juga akan berjaya. Dia mungkin seorang kerani. Untuk memajukan dirinya, dia mengambil diploma melalui program Pengajian Luar Kampus. Pada hari-hari yang dia tidak menghadiri kelas, dia akan berniaga seperti menjual burger.

Ramai daripada kalangan mereka ini sudah berkeluarga dan masih boleh menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan ayah. Saya biasa menemui mereka yang membuat kerja sambilan dengan memandu teksi, berniaga, menjadi ejen jualan langsung, katerer dan juga broker.

Justeru itu, tiada sesiapa pun yang boleh komplen yang dia tidak mempunyai masa. ALLAH yang mencipta dan mengurus masa memberikan semua insan 24 jam sehari. Tiada seorang insan pun diberi lebih masa seperti 25, 26 atau 27 jam sehari agar dia dapat menjadi produktif lebih daripada orang lain.

Kerana itu, andainya dia masih komplen,
ertinya dia sendiri yang memendekkan masanya
kerana bukankah komplen itu membazir waktu?


Artikel ini terbit di dalam Sinar harian 27.1.10

salam-ukhwah

Mengenali tiga dimensi cinta

Cinta adalah perkataan indah yang mempunyai erti yang amat mendalam buat sepasang kekasih. Tetapi oleh kerana terlalu kerap disebut-sebut, ia menjadi koman. Akibatnya perkataan cinta mempunyai konotasi sebagai satu perasaan murahan kerana turut bersandarkan nafsu. Kerana itu juga, istilah cinta menjadi mainan di bibir kerana mudah dilafazkan dengan bersahaja.

Lafaz ‘AKU CINTA PADAMU’ atau ‘I LOVE YOU’ sudah tidak menjadikan si penyebut bergetar dadanya dan si pendengar terhenti degup jantungnya. Pendek kata ungkapan ‘AKU CINTA PADAMU’ sudah jadi sebutan plastik yang lahir di bibir semata-mata, bukannya menjelma dari hati. Kerana itu, ungkapan tersebut sudah tidak lagi mudah dipercayai kerana persepsi terhadap nilainya kian rendah, hingga ada yang mencemuh cinta itu sendiri. Mengapa, ya?

Bagi saya, ia mempunyai persepsi yang murahan kerana cinta yang sering disebut-sebut itu sebenarnya cinta fizikal. Tidak boleh tidak, kebanyakan percintaan pada hari ini bermula di dimensi cinta fizikal. Wajahnya, lirikan matanya, senyumannya, suaranya, seksinya, bau perfumnya, hensemnya dan segala-gala yang dapat dirasai oleh lima pancaindera banyak bergantung pada cinta fizikal. Cinta pandang pertama terlahir kerana cinta fizikal.

Sebab itu, bagi pasangan yang rosak, mereka boleh jatuh cinta selepas berkenalan sehari dan melakukan yang haram atas nama cinta, sedangkan cinta yang dirasai itu tidak lebih daripada cinta fizikal semata-mata.

Kerana itu, apakah cinta yang lebih bermakna? Pada saya cinta yang lebih bererti daripada cinta fizikal adalah cinta emosional. Pertemuan yang kerap sepasang kekasih, berbual, berSMS dan MMS, bertukar pendapat, membantu menyelesai masalah, membantu menelaah pelajaran, saling bersama pergi dan pulang kerja, pemberian hadiah dan pujian akan melahirkan cinta dimensi kedua iaitu cinta emosional.

Dari situ,menjelmalah rindu ingin sang kekasih sentiasa di sisi. Kerana cinta emosionalah lahir ungkapan lautan api sanggup kurenangi. Namun, cinta emosional yang disalahgunakan bisa terjadi bila mana si lelaki menabur budi untuk membeli body.

Cinta fizikal dan cinta emosional adalah dua peringkat cinta yang dilalui kebanyakan daripada kita. Bila mula bersatu sebagai suami isteri, rapatnya mengalahkan belangkas dan memalukan merpati. Semakin masa berlalu, kehadiran pasangan adalah rutin, cukup sekadar duduk bersarapan bersama di mana si suami asyik membaca akhbar dan si isteri seronok menonton TV.

Kasih sayang kian luput kerana kononnya si isteri perlu tumpukan masa untuk menjaga anak-anak sementara si suami mesti bekerja lebih kuat untuk ekonomi keluarga yang semakin membesar. Apabila usia semakin meningkat, si isteri perlu menjaga cucu dan si suami perlu beribadat di masjid pula. Maka, kedua-duanya bersama untuk menghabiskan sisa-sisa hidup menunggu mati kerana kasih kepada pasangan sudah luput.

Memanglah begini jadinya kepada banyak pasangan apabila hanya menikmati cinta fizikal dan emosional. Kedua-duanya tidak akan bertahan lama. Ia akan goyah jika tidak dianyam dengan cinta dimensi ketiga iaitu cinta spiritual.

Di manakah cinta spiritual? Perasaan cinta ini sukar menjelma jika tidak dirasai melalui suara hati. Kerana ia tidak dimengerti, maka ia tidak dicari. Oleh kerana ia tidak dicari, ia sukar ditemui. Namun, cinta fizikal dan cinta emosional yang disulami dengan cinta spiritual akan mengekalkan pasangan. Perasaan mawaddah wa rahmah, atau cinta dan kasih akan menghiasi kehidupan yang menenangkan.

Pasangan yang mengalami cinta spiritual akan saling membantu, saling bersama, saling intim, malah saling doa mendoakan agar kedua-duanya terus dapat bertemu di akhirat. Cinta fizikal dan cinta emosional akan gugur, tetapi cinta spiritual makin bersinar bila usia merangkak senja.

Cinta spiritual yang membawa ke syurga bukan khayalan di dalam lagu cinta, tetapi ia benar-benar ada jika kita mencarinya dengan menyuluh ke denai-denai di hati. Cinta spiritual adalah kunci kebahagiaan yang hakiki kerana ia adalah kepunyaan Allah Ya Wadud.

Artikel ini terbit di akhbar Sinar harian pada 10.3.10.

salam-ukhwah

MENGAPA SUKA
CAKAP BELAKANG ?

SAYA menerima sebuah e-mel daripada seorang sahabat. Sharifuddin menceritakan keadaan warga syarikatnya yang tidak sampai 10 orang itu hendak berhenti kerja secara beramai-ramai. Puncanya kerana dia hanya memberi bonus sebulan gaji kepada kakitangannya. Saya hairan kerana setahu saya, syarikat pembekal alatulisnya itu tidak pernah memberi bonus sejak mula beroperasi. Mengapa pula mereka hendak berhenti kerja bila taukenya hendak memberi bonus?
“Aku pernah bersembang dengan seorang staf, niat aku hendak beri bonus kepada semua kakitangan aku. Dia boleh bawak cerita kepada staf yang lain yang aku nak beri bonus tiga bulan gaji. Bila aku beri sebulan gaji, masing-masing merajuk dan nak berhenti kerja. Mereka tuduh aku berbohong! Nasib baik aku panggil staf aku yang jadi penyebar cerita palsu itu menceritakan kepada semua staf dalam sebuah mesyuarat. Kalau tidak, aku boleh tutup kedai.”

Alhamdulilah kerana Sharifuddin dapat menangani masalah di syarikatnya yang kecil itu. Fitnah yang besar di dalam sebuah syarikat yang kecil itu dapat dihidu dan disusur puncanya lalu diselesaikan. Bagaimana pula kita yang bekerja di syarikat yang besar, kawasan perumahan yang besar atau kampung yang besar?

Yang pasti, saban hari berita benar dan palsu datang kepada kita bersilih ganti hingga kita tidak dapat mengenal yang mana satu yang benar dan yang mana salah. Yang bahayanya, berita itu tiba dalam bentuk pertuturan, bisikan dari telinga ke telinga sehingga kita tidak tahu dari manakah sumbernya. Malangnya, kita mudah mempercayainya.

Mengapa? Di antara punca utamanya ialah sikap kita yang mudah menerima apa yang disampaikan secara cakap belakang-belakang. Kita mudah menerima cerita yang disampaikan secara tidak rasmi ini kerana di dalam mana-mana kelompok manusia, akan terdapat seorang penyampai berita yang handal dalam mensensasikan apa jua khabar.

Lazimnya, si penyampai berita ini mempunyai cara pertuturan yang amat menyakinkan. Sesuatu berita disampaikan dengan intonasi suara yang memukau, mimik muka yang mempengaruhi si pendengar dan gerak geri yang dramatik. Sudah tentunya penyampaian yang sebegini akan membuat kita terpesona dan terlupa rasional serta logika. Sehingga akhirnya kebenaran itu dikaburkan dengan kebatilan.

Kerana itu, di dalam sesebuah organisasi, seseorang yang bertukar jabatan kerana kenaikan pangkat boleh digosipkan sebagai seseorang yang diturunkan pangkat. Orang yang mengundur diri daripada sesuatu jawatan kerana kurang sihat dikatakan sebagai dibuang dan orang yang mengubah pendirian kerana menghormati keputusan mesyuarat boleh dianggap orang berperangai lalang. Si penyampai berita inilah yang menggodam apa yang benar kepada yang palsu. Malangnya, yang palsu inilah yang dipercayai.

Mengapa pula yang palsu ini dipercayai hingga ia menjelma menjadi benar? Ia terjadi kerana kita juga. Ramai di kalangan kita terdiri daripada mereka yang lebih suka mengangguk untuk mengiyakan. Kita malas untuk berfikir sama ada apa yang disampaikan itu betul atau salah. Lagipun, kita segan untuk mempersoalkan apa yang disampaikan kerana hendak menjaga hati si penyampai berita.

Akibat kasihan kepada si penyampai kerana tidak mahu dia malu alah jika kita bertindak dengan menyoal sumber berita yang disampaikan, akibatnya, kita memperoleh maklumat yang salah. Oleh kerana kita perlukan maklumat untuk membuat keputusan, maklumat yang salah akan menghasilkan keputusan yang salah.

Sepatutnya, apabila kita memperoleh sesuatu khabar, perkara pertama yang harus kita lakukan ialah bertanyakan sumber berita yang diperoleh si penyampai. Dengan maklumat itu, kita harus terus merujuk kepada sumber itu untuk memperoleh kepastian. Tindakan ini akan mematikan fitnah di sumber asalnya. Dan, yang lebih penting, kita akan disegani kerana berani memberhentikan cakap belakang daripada berleluasa.

Dalam pada kita berani menghentikan cakap-cakap belakang, jangan pula kita terjerumus pula menjadi salah seorang daripadanya. Ini boleh terjadi jika pada mana-mana ketika, kita malu untuk mengaku yang kita tidak tahu mengenai sesuatu perkara apabila ditanya mengenainya. Oleh kerana hendak menyedapkan hati si penanya, maka kita pun mencipta cerita yang kita rasa logik.

Tanpa kita sedari, tindakan itu akan menjadikan kita si penyebar fitnah. Sedar-sedar, rupa-rupanya, kita pun apa kurangnya?

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 24.2.10.

salam-ukhwah

Tanggal 23 februari 2010 aku bertugas di ibu pejabat atas arahan bos besar. Walaupun hati aku berbelah bagi untuk pergi bertugas disana. Fikiran aku menjadi serabut banyak mengikirkan hal termasuk kos minyak kenderaan,tol,makan-minum seharian,parking dan lain-lain hal lagi. Hati aku tidak mahu pergi bertugas disana tetapi terpaksa menurut atas sebab perintah yang dikeluarkan oleh bos besar. Fikiran aku melayang merenung nasib yang terjadi jikalau aku engkar dengan perintah yang telah dikeluarkan oleh bos besar. Bos besar aku ini tidak bertimbang rasa langsung memikirkan anak buah seperti aku ini. Apakah dayanya aku hanyalah orang suruhannya saja tidak terdaya untuk melawan semua itu.

Dalam berat hati aku melangkah masuk ke pejabat baru aku setelah selesai semua kerja yang aku lakukan di tempat lama aku bertugas. Dengan hati aku tidak tenang, ku teruskan juga perjuangan ini. Setelah beberapa hari aku berada di tempat kerja yang baru,gerak hati ku sebelum ini benar-benar terjadi. Aku tidak mampu meneruskan lagi kerja di tempat baru dengan perjalanan tempat kerja jauh dari kediamanku. Banyak fikiran bermain di dalam kepala ku,mungkinkah ini dah takdir untuk ku. Aku berserah kepada Tuhan Yang Maha Esa untuk menentukan tadkir yang baik.

Sambung part 2

Visitors

Banner

" />