Muslim yang faham akan agamanya dan sebati dengan ajarannya yang mudah dan bertoleransi akan bersifat dengan sifat pengasih dan penyayang. Mata air rahmat sentiasa terpancar dari hatinya, kerana dia tahu bahawasanya mengasihi hamba-hamba Allah di bumi menjadi sebab untuknya menerima rahmat dari langit. Rasulullah SAW bersabda:
"Kasihanilah siapa yang di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh siapa yang di langit." (HR At-Tabrani).
Dia sendiri tahu dari hidayah agamanya bahawa: "Siapa yang tidak mengasihi manusia, Allah tidak akan mengasihinya." (HR At-Tabrani)
Dia juga mengetahui bahawa, "Tidak dicabut rahmat Allah kecuali dari orang yang celaka." (HR Bukhari).
Muslim yang memahami agamanya akan sedar bahawa sifat kasih sayangnya itu tidak terbatas pada dirinya sahaja, bahkan meluas dan melata kepada keluarganya, kerabatnya, sahabat-sahabatnya hatta kepada seluruh umat manusia. Dia tahu bahawa hidayah nabinya meliputi seluruh umat manusia, malah menjadikan rahmat itu sebagai salah satu daripada syarat iman. Abu Musa Al Asy'ari RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW:
"Kamu tidak akan beriman sehingga kalian saling berkasih sayang. Mereka (para sahabat) berkata: Wahai Rasulullah, kami semua, pengasih. Baginda bersabda: Sesungguhnya bukanlah mengasihi seseorang akan sahabatnya sahaja, akan tetapi membawa rahmat kepada manusia, mengasihi seluruhnya." (HR Tabrani)
Inilah dia rahmat kasih sayang yang menyeluruh, rahmat yang meliputi segenap umat manusia. Inilah yang diletakkan oleh Islam di dalam sanubari setiap Muslim sejati. Dengan sifat ini, masyarakat muslimin menjadi masyarakat yang berkasih sayang, bergelombang dengan ombak cinta yang sejati, nasihat yang ikhlas dan percintaan yang mendalam.
Rasulullah SAW merupakan contoh teladan yang unik dan sebaik-baik ikutan dalam merealisasikan sifat rahmat ini. Segala pengertian rahmat dan kasih sayang telah terjelma di dalam diri baginda. Suatu ketika beliau mendengar tangisan seorang anak kecil ketika sedang solat, lalu Baginda menyegerakan solatnya lantaran memikirkan perasaan ibu anak kecil tersebut. Peristiwa ini diceritakan oleh Anas RA bahwasanya telah berkata Nabi SAW:
"Sesungguhnya aku telah memasuki (menunaikan) solat, dan aku ingin memanjangkannya kemudian aku mendengar tangisan seorang anak kecil maka aku memendekkan solatku lantaran aku tahu bagaimana gelisahnya ibunya dengan tangisan anaknya." (HR Bukhari-Muslim)
Pada suatu hari datang seorang Arab Badwi kepada Rasulullah SAW sambil berkata: "Adakah kamu mencium anak-anak kecil kamu? Sebab kami tidak mencium mereka." Maka bersabdalah Rasulullah SAW:
"Adakah aku berkuasa ke atasmu jika Allah mencabut rahmat dari hatimu?" (HR Bukhari-Muslim)
Dalam sebuah hadis yang lain Abu Hurairah RA menceritakan: "Rasulullah SAW mencium pipi Hassan bin Ali RA, putera Sayyidina Ali RA dan Aqra' bin Habis At-Tamimi berada dekat dengan baginda. Maka berkatalah Aqra': Saya mempunyai sepuluh orang anak, seorangpun belum pernah saya cium. Maka, Rasulullah berkata kepada Aqra': Barangsiapa yang tidak merahmati, tidak akan dirahmati." (HR Bukhari)
Ketika Umar bin Khattab RA hendak melantik seseorang sebagai pegawai tinggi kaum muslimin di salah sebuah daerah negara Islam tetapi apabila mendengar orang yang hendak dilantik itu bersifat seperti sikap Al-Aqra' terhadap anak-anaknya (tidak pernah mencium mereka) maka khalifah tidak jadi melantiknya sambil berkata kepada orang tersebut;
"Jika dirimu tidak mampu bersifat rahmat terhadap anak-anakmu, bagaimana mungkin engkau dapat mengasihi manusia? Demi Allah, aku tidak akan mengangkatmu sebagai pemimpin buat selama-lamanya."
Sifat kasih sayang yang diajarkan Islam dan dicontohkan Nabi SAW tidak hanya terbatas bagi manusia sahaja, tetapi juga berlaku terhadap haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan. Abu Hurairah RA bercerita: "Tatkala seorang lelaki berjalan di sebatang jalan lalu dia merasa sangat dahaga. Kemudian ditemuinya sebuah telaga lalu dia turun ke dalamnya untuk minum. Ketika keluar, terlihat olehnya seekor anjing termengah-mengah menjilat-jilat bumi lantaran sangat haus. Maka orang itu berkata (di dalam hatinya) sesungguhnya anjing itu benar-benar merasa haus seperti yang telah aku alami tadi, lalu dia kembali turun ke dalam telaga dan memenuhi kasutnya dengan air, kemudian diberikannya air kepada anjing itu. Segeralah anjing itu minum, dan Allah pun menghargai perbuatannya dengan mengampuni dosanya. Para sahabat bertanya kepada Nabi SAW: "Apakah diberi pahala dengan menolong binatang? Baginda menjawab: "Pada tiap yang bernyawa ada pahala (jika kita menolongnya)." (HR Bukhari, Muslim)
Al Imam Bukhari dan Muslim juga meriwayatkan dari Ibnu Umar RA, bahwa Rasulullah SAW telah bersabda: "Telah diazab seorang wanita lantaran seekor kucing yang dikurungnya sehingga mati kelaparan. Lantaran itu dia masuk neraka. Lalu dikatakan kepadanya: "Engkau tidak memberi makan kepadanya, tidak memberi minum kepadanya ketika di dalam kurungan, dan engkau tidak melepaskannya supaya dia dapat mencari makanan dari hasil-hasil bumi."
Rasulullah SAW tidak jemu-jemu mendorong muslimin supaya bersifat dengan sifat pengasih dan penyayang bukan sahaja terhadap sesama manusia tetapi juga terhadap binatang. Dengan demikian, rahmat itu meliputi dunia muslimin, melimpahi masyarakat dan tanahair mereka. Jadi apabila telah merata sifat rahmat di bumi, maka akan melimpah ruahlah siraman rahmat Allah SWT kepada mereka dari langit.
"Kasihanilah siapa yang di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh siapa yang di langit." (HR At-Tabrani).
Diolah daripada bab Pengasih (Rahim) di dalam buku "Keperibadian Muslim, Jilid 2", Dr. Muhammad Ali Hasyimi, Pustaka Salam, 1988
petikan dari http://www.haluan.org.my/v3/index.php/sifat-kasih-sayang-seorang-muslim.html
0 comments:
Post a Comment