salam-ukhwah Tuesday, June 28, 2011


Kami kumpulan wanita dari Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API), Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS) dan Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia cawangan Pulau Pinang (SALIMAH) ingin menarik perhatian semua pihak khususnya pihak berkuasa negeri Pulau Pinang dan media berkenaan Penganjuran Peragaan Baju Renang yang dijangka berlangsung 2 Julai 2011.

Pada 1 hingga 3 Julai 2011, satu pameran IT akan berlangsung di D’PlAZZA Mall (bersebelahan dengan PISA). Pameran ini dikelolakan oleh dua badan utama iaitu Karpersky dan Persatuan ICT Pulau Pinang (PICTA). Semasa pameran ini berlangsung, diselitkan beberapa aktiviti untuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung khususnya masyarakat Pulau Pinang. Salah satu acara tersebut adalah Peragaan Baju Renang yang turut diadakan di tempat yang sama. Oleh itu wujud persoalan tentang rasional menganjurkan pertunjukan baju renang semasa pameran ICT. Kebimbangan kami yang paling utama adalah kesan tidak langsung penganjuran acara seperti ini.

Selain itu, iklan tentang peragaan baju renang ini juga banyak disebar di kawasan kampung-kampung yang majoriti penduduknya melayu. Hal ini menampakkan penyebaran budaya yang bercanggah dengan nilai-nilai yang ada dalam agama Islam iaitu agama orang-orang melayu.
Pihak kami menyokong penganjuran pameran berkaitan IT kerana itu adalah suatu usaha yang baik dan sememangnya bermanfaat buat masyarakat khususnya yang tinggal di Pulau Pinang. Namun apa yang menjadi kekesalan kami sebagai masyarakat dan badan NGO adalah kegagalan pihak penganjur untuk lebih sensitif tentang keadaan masyarakat Malaysia dalam menyusun aktiviti-aktiviti untuk tatapan masyarakat awam semasa berkunjung ke pameran tersebut.

Bantahan ini kami lakukan bukan atas sebab kepentingan individu atau mana-mana pihak. Sebaliknya berasaskan kepada prinsip kerukunan dan saling menghormati dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama. Peragaan pakaian mandi di khalayak awam langsung tidak bertepatan dengan norma masyarakat Malaysia dan adab ketimuran.

Kebimbangan kami juga adalah akan berlakunya eksploitasi terhadap wanita. Peragaan pakaian mandi yang mendedahkan tubuh wanita menyebabkan fungsi wanita di mata masyarakat berada di tahap yang rendah dan tiada harga. Walhal fungsi wanita dalam masyarakat dan dunia ICT adalah lebih daripada hanya mendedahkan tubuh.

Pihak kami juga bimbang aktiviti seperti ini akan meninggalkan kesan negatif seperti peningkatan jenayah seksual dan penjualan bahan lucah. Hal ini kerana tanpa kita sedari akan ada pihak-pihak lain yang tidak bertanggungjawab bakal mengeksploitasi aktiviti seperti ini untuk tujuan jenayah dan sebagainya.

Justeru kami ingin menegaskan sekali lagi bantahan kami terhadap penganjuran Peragaan Baju Renang yang jelas tidak mendatangkan manfaat yang besar dalam masyarakat dan dunia ICT.

* kenyataan akhbar ini telah diadakan pada 27 Jun 2011 pada jam 10.35 pagi

0 comments:

Post a Comment

Visitors

Banner

" />