salam-ukhwah Wednesday, September 21, 2011

Sewaktu masuk ke dalam kelas untuk menjalani rutin harian mengajar, saya terfikir sejenak untuk bertanya kepada pelajar-pelajar istimewa saya. “Awak mahu jadi apa?”. Mungkin ini adalah soalan yang biasa atau pun remeh bagi sesetengah guru-guru yang ada di Malaysia untuk bertanyakan kepada pelajar mereka. Namun bagi saya, ianya adalah suatu yang amat penting untuk menambahkan jati diri dan semangat pelajar saya untuk merubah nasib mereka.

Jika ditanya pada diri sendiri, pastinya kita semua mempunyai sekurang-kurangnya satu cita-cita untuk dikejar. Jika di zaman persekolahan dulu, ramai di antara kita dan rakan-rakan kita akan memilih untuk menjadi doktor, jadi polis, jadi askar dan macam-macam lagi. Malah ada yang sambil menjawab itu, muka tersengih-sengih dan suara sengaja dinyaringkan. Doktor! Polis! Askar! Sepertinya pelajar yang lain pekak.

Jadilah manusia. Lebih mulia manusia berbanding malaikat, apabila manusia itu benar-benar menjadi manusia. Lebih hina manusia itu berbanding haiwan, apabila manusia itu tidak menjadi manusia.

Namun begitulah kita sewaktu di zaman persekolahan, kita begitu bangga untuk memberitahu kepada orang lain perihal cita-cita yang kita hendak gapai suatu hari nanti. Tapi berlainan pula kesnya dengan pelajar saya. Rata-rata mereka bercita-cita untuk menjadi seorang Manusia? Saya sedikit tercengang dengan jawapan yang diberikan oleh hampir semua pelajar-pelajar saya. Jika ini jawapan yang diberikan ketika guru kita bertanyakan soalan yang sama kepada kita suatu ketika dulu, pasti kita akan menjadi bahan ejekan di dalam kelas.

Semua pelajar saya menunjukkan muka yang serius ketika menjawab hendak menjadi seorang manusia. Apakah selama ini mereka bukan manusia? Jawapan yang serius dan spontan itu memberikan sedikit tanda tanya kepada saya. Namun saya hanya tersenyum bagi menghormati cita-cita pelajar saya.
Bagi setengah-tengah orang, tentu cita-cita ‘mahu menjadi manusia’ adalah cita-cita yang paling lekeh dan paling main-main yang pernah kita dengar. Malah pasti akan ada yang berkata, “Alahai, kita semua manusia!”. Mungkin marah, mungkin jelek, itu kurang pasti.

Bagaimana untuk kita boleh seyakin itu? Kenapa kita begitu pasti bahawa ‘yang semacam kita’ ini semua manusia, bukan makhluk asing, jin atau pun syaitan? Jawapan yang diberikan oleh pelajar saya memang memberikan sedikit kesan di hati. Apa tidaknya, dengan sedikit kecurangan yang telah dilakukan pada masa lepas mereka terpaksa menerima hukuman yang setimpal dan cita-cita untuk menjadi seorang manusia memberikan maksud yang sangat mendalam.

Mungkin dengan hukuman yang diberikan memberikan banyak kesedaran kepada pelajar saya untuk berubah menjadi seorang manusia yang sebenar-benar manusia. Jika dulu banyak melakukan kecurangan dalam hidup kini berubah untuk menjadi seorang manusia yang mencari kebaikan yang sebenar-benar kebaikan. Ini kerana, setiap di antara kita mahu menjadi seorang manusia. Benar-benar manusia dan bukan manusia pada rupa sahaja.

www.AhmadiKatu.com

**oleh itu kita hendaklah menjadi manusia sebaik-baiknya janganlah jadi manusia bertopengkan syaitan@haiwan yang perwatakkannya tidak sama dengan kata-kata diucapkan ataupun dizahir oleh lidah....***

0 comments:

Post a Comment

Visitors

Banner

" />